Thursday 17 July 2014

Sejarah di Sebalik Nama-nama Jalan di Sarawak (Bandaraya Kuching)

SEJARAH DI SEBALIK NAMA-NAMA JALAN DI SARAWAK (BANDARAYA KUCHING)



Sudah menjadi lumrah bagi setiap negara mahupun negeri menamakan jalan-jalan ataupun lorong ataupun daerah di dalam jajahannya mengikut sejarah ataupun nama mereka yang menjadi ikon bagi satu-satu tempat dan ini tidak terkecuali dengan Sarawak Bumi Kenyalang. Jika diimbau nama-nama jalan yang terletak di Bandar-bandar besar seperti di Kuching, Sibu, Bintulu dan bahagian-bahagian yang lain di Sarawak ianya juga mempunyai sejarahnya sendiri. Inilah artikel daripada Borneo Oracle untuk kali ini yang diberi tajuk Sejarah Di Sebalik Nama-nama Jalan di Sarawak dan untuk siri 1 akan dimulai dengan Bahagian Kuching dan seterusnya siri-siri yang lain akan mencakupi bahagian-bahagian yang lain di Sarawak Bumi Kenyalang. Ianya mungkin hanya mencakupi sebahagian kecil daripada nama-nama jalan di Sarawak namun biarlah kita mengingatinya dengan mengetahui sejarahnya secara sepintas lalu agar ianya tidak hanya sekadar pada nama sahaja.

Jika kita mengimbau kepada sejarah nama-nama jalan dan ternyata nama-nama jalan di seluruh Bandar-bandar utama Sarawak juga mempunyai kesinambungan kepada ikon-ikon sejarah semasa Sarawak dibawah Kesultanan Brunei Darussalam dan juga sewaktu tertubuhnya Negara Sarawak dibawah Rajah Brooke.

Jalan Muda Hashim , Kuching - Dinamakan bersempena dengan ikon sejarah Pengiran Muda Hashim yang merupakan bapa saudara kepada Sultan Omar Ali Saifudin II iaitu pemerintah Brunei Darussalam, Ayahanda saudara Sultan Omar Ali ini telah dihantar ke Sarawak pada tahun 1835 bagi meleraikan pemberontakan ke atas pemerintahan Pengiran Indera Mahkota, Gabenor Sarawak yang dikatakan tidak mengamalkan pentadbiran yang baik di Sarawak. Beliaulah yang telah memohon bantuan Sir James Brooke seorang pengembara Eropah untuk membantu beliau di dalam pemberontakan tempatan di Sarawak.

Jalan Badruddin , Kuching – Dinamakan bersempena dengan seorang lagi ikon sejarah Kesultanan Brunei Darussalam iaitu Pengiran Badruddin yang merupakan saudara tiri kepada Pengiran Muda Hashim. Beliau dikatakan seorang yang amanah dan jujur di dalam tugasnya. Bersahabat baik dengan Sir James Brooke sehingga memungkin Pengiran Badruddin menerima satu hadiah daripada Sir James Brooke iaitu sebentuk cincin yang mempunyai mohor nama Sir James Brooke dan sekiranya ada musibah yang berlaku kepada Pengiran Badruddin, beliau hanya perlu menghantar kepada Sir James Brooke dan bantuan daripada Sir James Brooke akan tiba kepadanya. Namun begitu keakraban keduanya ini tidak disenangi oleh Sultan Brunei sehingga menyebabkan beliau dipanggil semula kembali ke Brunei dan akhirnya satu komplot untuk menghapuskan Pengiran Badruddin dan seluruh keluarganya telah dilakukan kerana dikatakan bersekongkol dengan seorang bangsa Eropah. Walaupun dikatakan Pengiran Badruddin telah berjaya menghantar cincin kepada Sir James Brooke pada 5 April 1846 tetapi bantuan daripada Sir James Brooke tidak tiba tepat pada masa kerana pada malam itu juga keseluruhan keluarga Pengiran Badruddin telah menemui ajal di Brunei Darussalam.

Jalan Patinggi Ali , Kuching – Siapa tidak kenal dengan ikon sejarah ini iaitu Datu Patinggi Ali antara mereka yang bertanggungjawab di dalam pembinaan masjid pertama di Kuching. Hasil daripada sumbangan keluarga Datu Patinggi Ali tersergam sebuah masjid yang menjalani proses pembinaan dari tahun 1848 dan siap sepenuhnya pada 1858. Datu Patinggi Ali bukannya seorang yang biasa kerana beliau sebenarnya dikatakan berasal daripada keturunan diraja dari Minangkabau. Beliau juga merupakan pemimpin masyarakat Melayu Sarawak yang sama-sama berjuang melawan penindasan yang dilakukan oleh pentadbiran Tengku Indera Mahkota. Berkat keberanian dan kesungguhan Datu Patinggi Ali, dia amat dihormati oleh Rajah Brooke sehingga memungkinkan beliau diambil sebagai Penasihat kepada pentadbiran Rajah Brooke di Sarawak. Datu Patinggi Ali gugur sebagai pahlawan dan wira Bangsa Sarawak sewaktu memimpin tentera Negara Sarawak di dalam satu pemberontakan tempatan yang dinamakan Perang Patusan pada tahun 1844.

Jalan Ajibah Abol , Kuching – Usah difikirkan bahawa ini adalah nama seorang lelaki kerana nama jalan ini diambil bersempena dengan nama seorang wanita besi Melayu Sarawak. Datuk Ajibah Abol adalah satu-satunya menteri wanita yang diangkat menjadi menteri di dalam Kabinet Sarawak pada tahun 1972. Ketokohan wanita besi ini bukan sahaja sebagai menteri wanita pertama malah beliau adalah antara wanita Melayu Sarawak yang bangun menonjolkan diri sewaktu berlakunya Anti Penyerahan pada tahun 1946. Kerana ketokohan beliau maka pada tahun 1970 beliau telah memenangi pilihanraya umum dibawah tiket Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. Menteri pertama wanita Sarawak ini meninggal dunia pada tahun 1973 dan pengiktirafan sebagai wanita Sarawak pertama yang dikurniakan Panglima Negara Bintang Sarawak menyerlahkan ketokohan beliau sebagai ikon sejarah wanita di Sarawak.

Jalan Bampfylde , Kuching – Dinamakan bersempena dengan seorang pegawai Kerajaan Negara Sarawak iaitu Sir Charles Bampfylde yang berkhidmat sebagai Residen Kuching dan berkhidmat dari tahun 1875 hingga 1903. Uniknya Sir Bampflyde ini adalah beliau dikatakan orang yang telah menyelamatkan Rajah Charles Brooke daripada mati lemas di Sungai Rejang apabila kapal yang dinaiki oleh Rajah Charles karam akibat kerosakan mekanikal. Sesungguhnya Rajah Charles terhutang nyawa kepada beliau sebenarnya.

Jalan Crookshank , Kuching – Dinamakan bersempena dengan seorang sepupu kepada Keluarga Brooke iaitu Arthur Chichester. Berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Negara Sarawak pada tahun 1845 hingga 1873. Dikatakan kerana keinginan beliau untuk membuat eksplorasi ke atas Negara Sarawak pada masa itu, beliau sanggup menerima gaji sebanyak 20 dollar Sarawak daripada sepupunya sendiri. Beliaulah sebenarnya yang berkerja kuat di dalam pembinaan Kubu James yang pada asalnya dibina di Skrang pada tahun 1849 dan seterusnya kerana hampir musnah akibat hakisan telah dipindahkan ke Sri Aman dan dinamakan Kubu Alice.
Jalan Deshon , Kuching – Dinamakan bersempena dengan seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negara Sarawak pada tahun 1876 – 1904 iaitu Henry Fitzgibbon Deshon. Ketika wabak Taun melanda Negara Sarawak pada 1902 dan ketika itu beliau mengetuai satu ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Ulu Ai yang mana daripada 12,000 tentera Negara Sarawak hampir 2,000 yang menjadi korban wabak taun. Namun begitu beliau tidak menyerah malah meneruskan ekspedisi sehinggalah tertangkapnya Bantin namun begitu hanya menghukum buang daerah kepada Bantin. Beliau sempat menjadi Residen Kuching sebelum bersara.

Jalan Ellis , Kuching – Dinamakan bersempena dengan seorang Penguasa Jabatan Kerja Raya Dan Ukur Kerajaan Negara Sarawak iaitu HD Ellis yang berkhidmat dari tahun 1897 sehingga 1907. adalah penguasa Kerja Raya dan Ukur. Beliau yang memberi idea dan bertanggungjawab di dalam pembinaan penambaikan di Bandar Kuching pada waktu itu lebih-lebih lagi pembinaan benteng ombak di Jalan Gambier yang mana ketika itu telah terhakis dengan teruk akibat daripada arus yang deras daripada Sungai Sarawak. Sekiranya tiada idea beliau di dalam pembinaan benteng itu sudah tentu Bandar Kuching sekarang mungkin sudah kehilangan dengan sebuah lagi kawasan yang amat sinonim di dalam kalendar sejarah Sarawak iaitu Jalan Gambier.

Jalan McDougall, Kuching - Dinamakan bersempena dengan seorang mubaligh Kristian yang bernama Francis Thomas McDougall yang juga seorang doktor yang terlatih di dalam ilmu perubatan. Beliau telah mengetuai missionary kristian di Negara Sarawak atas jemputan Rajah Brooke pada tahun 1846. Di ketika Kuching ditawan oleh Kongsi Mau Shan pelombong emas dari daerah Bau, di gereja yang dibuka oleh Francis Thomas McDougall inilah tempat para penjawat awam berbangsa Eropah yang bekerja di pentadbiran Sarawak Kingdom memohon perlindungan daripada dibunuh dan diserang oleh pelombong-pelombong emas yang mengamuk.

Jalan Power, Kuching - Jalan ini sebenarnya adalah satu jalan yang unik suatu ketika dahulu kerana disinilah terletaknya pasaraya yang pertama wujud di Kuching yang dikenali sebagai Electra House. Dan disinilah permulaannya jalinan keretapi Negara Sarawak yang mana 2 gerabak keretapinya yang bernama Bulan dan Bintang memulakan perjalanannya sehingga ke Batu 10. Oleh kerana disini terletaknya pusat kepada ibukota Kuching suatu ketika dahulu maka dibinalah 2 pusat janakuasa elektrik berkuasa arang batu yang pertama di Kuching. Dan kerana itulah ianya dinamakan Jalan Power atau tenaga di dalam bahasa melayu.

Jalan Gambier , Kuching – Jalan Gambier terlalu sinonim dengan sejarah Sarawak dahulu kala. Dinamakan bersempena dengan nama pokok yang renek iaitu pokok gambir. Penghasilan daripada pengekstrakan daun pokok gambir ini boleh digunakan untuk pencelupan dan penyamakan kulit binatang untuk lebih bertahan lama. Ianya merupakan eksport utama Negara Sarawak pada tahun 1890an. Disinilah munculnya kulit pokok gambir atau yang lebih dikenali sebagai Gambir Sarawak yang terkenal untuk pencegahan sakit gigi dan gusi.

Jalan Green , Kuching – Satu-satunya nama jalan yang menggunakan contoh warna di Kuching. Sebenarnya nama jalan ini diambil bersempena dengan laluan rumput hijau yang sering digunakan oleh Rajah Charles Brooke untuk menunggang kuda. Laluan hijau ini memanjang lurus dan terus digunakan sehingga selepas Perang Dunia Kedua sehinggalah ianya dijadikan jalanraya yang dipanggil Jalan Green.

Jalan Carpenter, Kuching – Keseluruhan jalan ini sebenarnya mempunyai deretan kedai peniaga barangan emas yang agak terkenal di Kuching, Sarawak. Ianya dinamakan dengan nama Jalan Carpenter atau di dalam bahasa melayu “Tukang” yang bermaksud mereka yang pandai bertukang emas. Disinilah deretan pengusaha Cina Sarawak yang pakar bertukang menjadikan bijian emas daripada kawasan lombong emas di Bau dan dijadikan produk terakhir mereka seperti rantai emas, anting-anting emas, cincin emas dan banyak lagi dijual kepada pembeli yang berbilang bangsa di Kuching.

Jalan India, Kuching – Pada asalnya nama jalan ini adalah Jalan Keling iaitu merujuk kepada ramainya masyarakat India yang menjalankan perniagaan rempah ratus dan juga perniagaan runcit yang lain di kawasan ini. Pada tahun 1928 atas persetujuan Rajah Charles Brooke ianya telah ditukar kepada Jalan India atau India Street kerana maksud Keling itu tidak begitu baik menggambarkan keharmonian masyarakat majmuk di bumi Sarawak.

Jalan Padungan , Kuching – Ianya dinamakan bersempena dengan sebuah perkampung Melayu yang terbesar di Bandar Kuching suatu waktu dahulu iaitu Kampung Padungan. Rata-rata penduduk Kampung Padungan adalah penunggang-penunggang kuda ataupun pekerja ladang kuda untuk sebuah kelab lumba kuda yang satu-satunya ada di Negara Sarawak dahulu iaitu Padungan Turf Club. Disinilah seringkali pertandingan lumba kuda yang melibatkan tempatan atau antarabangsa diadakan. Sekarang ianya sudah tiada lagi dan perkampungan pun sudah mengecil bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan setempat.

Inilah sekelumit sejarah tentang di sebalik nama-nama jalan di Kuching, Sarawak. Sememangnya banyak lagi nama jalan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan kerana ruang yang tidak mencukupi hanya inilah yang termampu Borneo Oracle paparkan. Sudah tentu ramai yang sering melintasi jalan-jalan yang ada di dalam artikel kali ini dan diharap ianya boleh mengimbau ingatan kita sebagai Bangsa Sarawak tentang sejarahnya. Tunggulah kemunculan siri kami yang seterusnya yang akan mencakupi Sri Aman, Sibu dan bahagian-bahagian lain di Sarawak kelak.


Credit to : Borneo Oracle (Facebook)

0 comments: